Followers

Aug 7, 2010

Ahlan Ya Ramadhan




Ahlan wasahlan Ya Ramadhan Kareem.. ^^

Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun. Ini disebabkan Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini.

Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

"Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan."


Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan.


“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yanghak dan yang batil).”
[TMQ Al-Baqarah:185]

Ganjaran pada bulan ini amatlah besar, seperti yang tersebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, mafhumnya: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada para sahabat pada hari terakhir bulan Sha’ban:

“Wahai manusia! Suatu bulan yang istimewa telah tiba; bulan penuh keberkatan; suatu bulan yang terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; suatu bulan di mana Allah telah mewajibkan ke atas kamu untuk berpuasa pada siang hari, dan disunatkan bersolat pada waktu malamnya. Barangsiapa mendekati Allah dengan melakukan sebarang ibadat sunat pada bulan ini akan mendapat pahala yang sama seperti mengerjakan ibadat wajib pada masa lainnya, dan barangsiapa mengerjakan ibadat wajib akan mendapat pahala yang sama seperti mengerjakan 70 ibadat wajib pada masa lainnya. Ia adalah bulan kesabaran, dan ganjaran bagi kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan sedekah, dan bulan pada mana rezeki orang yang beriman ditingkatkan. Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, dosanya akan diampunkan, dan akan diselamatkan daripada api neraka, dan akan mendapat pahala yang serupa seperti mana orang yang berpuasa itu, tanpa pahalanya berkurang sedikit pun.”

Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah kami tidak mempunyai apa-apa yang boleh diberikan kepada orang yang berpuasa!” Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

Allah akan mengurniakan pahala ini k e p a d a mereka yang memberi makanan kepada orang yang berpuasa walaupun hanya seteguk susu atau sebiji kurma atau seteguk air. Dan barangsiapa memberi kepuasan kepada seseorang, Allah akan memberinya minuman daripada telagaku yang akan menghilangkan dahaganya sehinggalah dia masuk syurga. Dan ia adalah bulan di mana awalnya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka.” [Mishkat ul Masabih]



Ramadhan adalah bulan untuk berpuasa dan berkorban,
di mana orang Islam akan mengharungi kepayahan dengan
menahan diri daripada kesenangan dunia bagi mendapatkan
keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Bagaimanapun, Ramadhan bukanlah bulan kepenatan dan bermalasan,
bahkan orang Islam berjaya dalam pelbagai bidang pada bulan ini.
Buktinya terdapat dalam sejarah Islam sendiri.

Pada bulan Ramadhanlah berlakunya Perang Badar,di mana orang Islam telah mengalahkan pihak musuh meskipun bilangan mereka jauh lebih sedikit.
Pada bulan ini jugalah orang Islam telah menghapuskan
kuasa pemerintahan orang-orang Quraish dengan menakluk Mekah.
Tentera Islam meneruskan tradisi ini dan tidak pernah gentar
untuk berperang dengan musuh pada bulan ini seperti yang ditunjukkan oleh Salahuddin al-Ayyubi, apabila beliau membebaskan Baitul Maqdis daripada genggaman orang Kristian.

Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa: jika manusia ingin mengubah sikapnya,
hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari,
inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari!

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur.

Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat berpuasa.

Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengan cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:

"Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah. "


Terkadang-kadang Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik."




No comments:

Post a Comment

jom baca komen!